AM

KELANTAN PERUNTUK RM4.5 JUTA BANTU IBU TUNGGAL TERKESAN PKP

13/06/2021 10:08 PM

KOTA BHARU, 13 Jun -- Kerajaan Kelantan memperuntukkan RM4.5 juta tahun ini bagi membantu golongan ibu tunggal terutama yang terkesan susulan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0. 

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri Datuk Mumtaz Md Nawi berkata sejumlah RM100,000 diperuntukkan bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk membantu golongan berkenaan.

"Bagi RM50,000 pertama, kami telah selesai mengagihkan dalam siri pertama, seterusnya bagi siri kedua akan mula diagihkan selepas Jun," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sementara di Masjid Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, dekat sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mumtaz berkata kerajaan negeri juga komited memastikan setiap golongan yang terkesan PKP turut mendapat bantuan sepanjang tempoh negara dilanda wabak COVID-19.

Beliau berkata antaranya, kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan RM20,000 bagi bantuan kepada anak-anak yatim.

“Sementara, Bantuan Jejak Amal Covid Komuniti (JACK) iaitu golongan ketua keluarga berpendapatan dalam bentuk gaji harian akan diberikan sumbangan barangan keperluan asas bernilai RM50.

"Di samping itu, sejumlah RM10,000 bagi siri kedua Bantuan Cakna Hawa iaitu golongan wanita berpendapatan rendah dengan mendapat gaji secara harian akan diagihkan kepada setiap DUN selepas Jun," katanya.  

Ditanya mengenai permohonan bantuan ketika pelaksanaan PKP tahun lepas dan tahun ini, beliau berkata ia dilihat meningkat memandangkan ramai penduduk Kelantan yang merantau, pulang ke negeri ini berikutan kehilangan pekerjaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan