DUNIA

COVID-19: THAILAND CATAT 3,277 KES, 29 KEMATIAN

12/06/2021 06:35 PM

Oleh Linda Khoo Hui Li

BANGKOK, 12 Jun  -- Thailand mencatatkan 3,277 kes baharu COVID-19 serta 29 korban sejak 24 jam lalu, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan kini sebanyak 193,105 dengan 1,431 kematian. 

Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) dalam satu kenyataan menyatakan dari 3,277 kes baharu, 3,248 penularan tempatan termasuk 892 dikesan di penjara dan 586 melalui pengesanan kes aktif.

Sebanyak 29 kes import telah dilaporkan termasuk seorang warga Thailand yang pulang dari Malaysia.

Mengenai korban terbaru, ia melibatkan 17 lelaki dan 12 wanita berusia antara 30 dan 92 tahun termasuk 17 di Bangkok, Samut Prakan (tiga), Nonthaburi (tiga) dan masing-masing satu di Pathum Thani, Chai Nat, Nakhon Sawan, Prachuap Khiri Khan, Phuket dan Udon Thani.

Sementara itu, Thailand mencadangkan semua pelancong asing yang tiba menerusi perjalanan udara, termasuk warga tempatan perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari di kemudahan kuarantin alternatif negara (ASQ) mulai 1 Julai.

Langkah itu diambil supaya semua pelancong asing perlu membayar kos penginapan dan makanan ketika di kuarantin di hotel yang diiktiraf kerajaan.

Ketua Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Jeneral Nattapon Nakpanich berkata pihak berkuasa merancang menutup kemudahan kuarantin negara pada akhir Jun untuk pelancong yang masuk menggunakan penerbangan udara.

"Ia berikutan terdapat segelintir pihak yang menyalahgunakan sistem kuarantin dengan sering keluar dan masuk ke Thailand.

"Ada sebahagian mereka sudah melakukan sebanyak 10 kali perjalanan menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kos yang tidak sepatutnya," katanya seperti dipetik Bangkok Post.

Nattapon berkata CCSA berusaha menyediakan ASQ dengan harga berpatutan untuk memenuhi keperluan pelancong yang melakukan perjalanan udara. 

Syor itu masih menunggu kelulusan Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan