AM

PELAJAR SEKOLAH AGAMA CEMERLANG SPM 2020 MESKIPUN BERGELUT SAKIT APENDIKS DI SAAT AKHIR

12/06/2021 06:40 PM

JOHOR BAHRU, 11 Jun  -- Bergelut dengan kesakitan akibat pembedahan radang apendiks di saat-saat akhir sebelum peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula tidak mematahkan semangat seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Maahad Muar yang meraih 11 A dalam peperiksan itu. 

Lebih manis, kejayaan diperoleh Fatima Az Azhra Noor Mohammad, 18, turut didorong pengorbanan ayahnya Noor Mohammad Borhan, 57, yang sanggup berulang-alik ke sekolah setiap hari selama dua bulan semata-mata untuk mengambil bahan pembelajaran daripada guru.

Fatima berkata dia didiagnos dengan penyakit radang apendiks pada 14 Julai tahun lepas dan menjalani pembedahan keesokan harinya di Hospital Sultanah Fatimah, Muar sebelum dibenarkan pulang sehari selepas itu.

“Sepanjang tempoh dua bulan pasca pembedahan, saya tidak mampu bergerak banyak kerana masih terasa sakit dan waktu itulah ayah ke sekolah setiap hari untuk mengambil latihan daripada guru untuk saya belajar sendiri di rumah.

“Saya bersyukur kerana rakan-rakan sering membantu, begitu juga guru yang mudah dihubungi untuk mendapatkan penerangan. Apabila saya kembali ke sekolah, mereka juga tidak jemu memberikan tunjuk ajar bagi memastikan saya tidak ketinggalan dalam pembelajaran yang lepas,” katanya yang ditemu bual oleh Bernama secara maya hari ini. 

Bercita-cita menjadi seorang guru, Fatima berkata beliau juga mengamal bacaan surah lazim seperti Al-Waqiah dan Surah Ar-Rahman untuk membantu pembelajarannya.

Bagi Nadia Abdullah, 18, yang turut mencatat keputusan 11A dalam peperiksaan SPM 202, resepi kejayaannya termasuk bangun seawal 3 pagi untuk mengulang kaji pelajaran dan menunaikan solat sunat setiap hari.

Pelajar Sekolah Menengah Agama Bugisiah itu percaya mendekatkan diri dengan amalan agama akan lebih memudahkan beliau belajar dan menghafal subjek yang diambilnya dalam peperiksaan SPM.

“Bagi saya, di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Walaupun sukar untuk saya bangun awal pagi setiap hari tetapi saya tetap berusaha untuk bangun demi kebaikan diri sendiri,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan