AM

COVID-19: Bali Pie, Jalan Samarakan kluster baharu di Sarawak

10/06/2021 07:51 PM

KUCHING, 10 Jun -- Sarawak hari ini mengisytiharkan dua lagi kluster baharu COVID-19 di negeri itu yang tercetus akibat aktiviti pergaulan sosial dan kontak rapat dalam kalangan penduduk rumah panjang.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menerusi kenyataan memaklumkan dua kluster itu adalah Bali Pie di daerah Subis dan Jalan Samarakan di Tatau.

“Kluster Bali Pie melibatkan dua rumah panjang dan kini diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” menurut kenyataan itu.

JPBNS memaklumkan daripada 243 individu yang disaring menerusi kluster itu, seramai 62 orang daripadanya didapati positif termasuk kes indeks dengan semua mereka kini menjalani pengasingan dan rawatan di Hospital Miri serta Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19.

Bagi Kluster Jalan Samarakan, seramai 79 individu telah disaring dengan 49 daripadanya positif manakala dua lagi masih menunggu keputusan makmal.

Selain itu, JPBNS turut mengisytiharkan Kluster Sungai Tengah di Bau ditamatkan hari ini selepas tiada kes baharu dikesan dalam tempoh 28 hari.

Sarawak merekodkan 631 kes baharu COVID-19 hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 53,631 dengan 334 kematian susulan empat kematian baharu dilaporkan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan