KUCHING, 9 Jun -- Sarawak dapat melaksanakan program imunisasi COVID-19 secara lebih menyeluruh dengan ketibaan sejumlah 380,000 dos vaksin jenama Sinovac hari ini , kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Beliau berkata bekalan vaksin itu diterbangkan khas menggunakan pesawat MASkargo yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di sini pada jam 12. 20 tengah hari tadi.
Katanya, sejak beberapa bulan lalu, kerajaan negeri melakukan perancangan menyeluruh untuk menggunakan sepenuhnya peningkatan bekalan vaksin.
Menurutnya, rancangan tersebut temasuk menubuhkan lebih banyak pusat vaksinasi di fasiliti kerajaan, klinik dan hospital swasta serta menubuhkan pasukan bergerak vaksin untuk memasuki kawasan pedalaman di negeri itu.
“Kami mengenal pasti 130 klinik dan hospital kerajaan dengan keupayaan vaksinasi harian dijangka mencecah 24,300 dos serta penubuhan 102 pusat vaksinasi awam melibatkan stadium, dewan masyarakat, pejabat dan rumah panjang dengan sasaran harian 42,500 dos,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas penglibatan sektor swasta dalam proses imunisasi, Uggah berkata kerajaan mendapat khidmat 42 klinik swasta memberi suntikan vaksin dengan 40 klinik sudah memberi perkhidmatan tersebut dan lebih banyak klink dalam proses pendaftaran.
“Bagi hospital swasta, enam lagi ditambah kepada lima yang sudah mula memberi suntikan vaksin. Secara keseluruhan, kapasiti pemberian vaksin menerusi hospital swasta adalah antara 5,000 hingga 7,000 dos sehari,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial