AM

COVID: RELA KELANTAN GIATKAN RONDAAN DI ZON MERAH

09/06/2021 05:18 PM

KOTA BHARU, 9 Jun -- Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Kelantan mempergiatkan rondaan menerusi Ops Landai 2.0 dalam tempoh sekatan pergerakan penuh di kawasan dikenal pasti sebagai zon merah COVID-19 di negeri ini bagi memastikan masyarakat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Berdasarkan data dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan setakat semalam, 14 mukim di Kota Bharu dikategorikan zon merah, Pasir Mas (lapan mukim), Bachok (tujuh), Tanah Merah (empat), Pasir Puteh (enam), Tumpat (enam), Jeli (dua), Machang (dua) serta masing-masing satu di Kuala Krai dan Gua Musang.

Pengarah Rela Kelantan Mior Muhammad Taufik Mior Burhanuddin berkata rondaan operasi itu dilaksana berdasarkan rujukan data kawasan berisiko tinggi jangkitan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Seramai 44 anggota dan pegawai terlibat dengan Ops Landai ini, mereka akan meronda kampung-kampung dan di kawasan tumpuan awam termasuk di pasar raya, masjid dan bank yang boleh menyumbang kepada jangkitan COVID-19.

"Operasi ini melibatkan satu pasukan di satu daerah di lokasi panas dengan pemeriksaan secara mengejut melibatkan rondaan dalam tempoh lapan jam sehari. Usaha ini memperlihatkan kesan baik apabila kes COVID-19 di Kelantan semakin menurun," katanya.

Mior Muhammad Taufik berkata demikian selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Majlis Daerah Ketereh-Perbandaran Islam (MDK-PI) yang turut dihadiri Pegawai Rela Daerah Kota Bharu Abd Halim Abdullah, di sini hari ini.

Rela Kelantan memiliki 100,000 anggota aktif daripada 250,000 anggota berdaftar.

Mengulas lanjut, Mior Muhammad Taufik berkata sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai Mac tahun lepas, seramai 530 anggota Rela bertugas setiap hari di seluruh daerah di negeri ini.

"Kita tidak pernah berhenti mengawal, malah semakin hari semakin bertambah sejak awal pelaksanaan PKP terutama bagi lokasi seperti sekatan jalan raya (SJR), pusat kuarantin dan PPV di negeri ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan