EKONOMI

PRE IHSAN JOHOR 3.0: PEMUDA UMNO HARAP INISIATIF KESIHATAN, EKONOMI DIUTAMAKAN

09/06/2021 01:48 PM

JOHOR BAHRU, 9 Jun  -- Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor berharap Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0 yang akan diumumkan esok, memberi keutamaan kepada inisiatif kesihatan dan ekonomi rakyat khususnya yang terjejas akibat pelaksanaan sekatan pergerakan penuh mulai 1 hingga 14 Jun ini.

Ketuanya Mohd Hairi Mad Shah berkata langkah itu bagi memastikan sistem kesihatan awam di Johor terus bertahan dan bantuan meringankan beban dapat disalurkan kepada rakyat di negeri ini tanpa perlu menunggu inisiatif dari Kerajaan Pusat.

"Inisiatif kesihatan seperti melaksanakan ujian saringan COVID-19 secara besar-besaran supaya semua rakyat di negeri dapat membuat saringan secara percuma; mempercepatkan proses vaksinasi dan memperbanyakkan lagi pusat pemberian vaksin (PPV) termasuk PPV pandu lalu dan bergerak terutama di kawasan kampung dan luar bandar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata inisiatif ekonomi pula, menyalurkan bantuan sekali beri kepada pengusaha yang terkesan dan individu diberhentikan kerja; menambah insentif petugas baris hadapan dan bantuan data RM50 kepada anak-anak dari golongan B40 bagi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berdasarkan maklumat E-Kasih.

Mohd Hairi turut mencadangkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri melaksanakan tanggungjawab sosial korporat dengan membekalkan tablet atau komputer riba kepada pelajar institusi pendidikan tinggi B40 selain mempertingkatkan keupayaan wi-fi di Johor.

Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad dijadual akan mengumumkan PRE Ihsan Johor 3.0 yang akan disiarkan secara langsung di laman Facebook rasminya dan Makmur Johor pada pukul 10 pagi esok.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan