AM

COVID: LIMA LAGI KLUSTER DIREKODKAN DI SABAH

08/06/2021 11:27 PM

KOTA KINABALU, 8 Jun  -- Lima lagi kluster baharu dikesan di Sabah hari ini melibatkan jangkitan di tempat kerja dan penularan dalam komuniti, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun.

Beliau berkata, tiga daripada lima kluster tersebut iaitu Kluster Ocean Blue, Kluster Segara dan Kluster Coral, yang semuanya di Kota Kinabalu melibatkan jangkitan di tempat kerja.

“Sementara kluster Tanjung Aru Baru, Kota Kinabalu dan Kampung Bundu Kuala Penyu pula, melibatkan jangkitan dalam komuniti,” katanya menerusi kenyataan di sini malam ini.

Masidi berkata, kes indeks Kluster Ocean Blue adalah kru kapal dari Perak, seorang lelaki berusia 29 tahun, yang mula bergejala pada 3 Jun sebelum didapati positif selepas tiba di pangkalan di Kota Kinabalu pada 6 Jun dan keputusan saringan menunjukkan 98 lagi kru kapal dikesan positif.

Berdasarkan siasatan awal, beliau berkata semua kru disahkan negatif dalam saringan pada 28 Mei lalu di Perak, sebelum memulakan pelayaran ke Sabah pada 1 Jun lepas.

Masidi yang juga jurucakap kerajaan negeri berkenaan COVID-19 berkata, kes indeks kluster Segara pula adalah seorang lelaki berumur 40 tahun, seorang juruteknik elektrik di Pelantar Kinabalu Non Associated Gas (KNNAG), yang disahkan positif hasil saringan bergejala di Hospital KPJ pada 2 Jun.

“Daripada 141 sampel yang diambil, 10 kes dikesan positif menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 11 kes, sementara 110 sampel negatif dan 20 lagi sedang menunggu keputusan ujian saringan,” katanya.

Sementara kes indeks kluster Coral di Pelantar Samarang merupakan tukang masak lelaki, 34 tahun, dikesan positif namun tidak mempunyai sebarang gejala dalam saringan prosedur ‘sign off’ kapal pada 2 Jun lepas.

“Saringan kontak rapat segera dijalankan dengan mengambil 283 sampel daripada keseluruhan kru pelantar. Hasil ujian saringan mengesan lapan lagi kes positif, manakala 274 sampel didapati negatif,” katanya.

Berdasarkan laman Facebook rasmi Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Christina Rundi, sehingga kini terdapat 259 kluster di Sabah.

-- BERNAMA

 

TAG: kluster, sabah, COVID-19, masidi manjun, jangkitan


NBHJ FBR ERE HIS


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan