AM

TAHAP KESEDARAN AWAM TAHUNAN PIDM SEMAKIN MENINGKAT

08/06/2021 05:09 PM

KUALA LUMPUR, 8 Jun  -- Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) melaporkan dalam Laporan Tahunan 2020nya bahawa tahap kesedaran awam tahunan mengenai PIDM berada pada 72 peratus, mengatasi sasaran bagi tahun 2020. 

Bertemakan ‘Melangkah ke Hadapan: Memacu Kesediaan PIDM’, laporan itu menyatakan kesedaran tentang PIDM adalah penting agar konsumer kewangan mengetahui apa yang dilindungi dan apa yang tidak dilindungi oleh PIDM sekiranya berlaku kegagalan sesebuah institusi ahli, sebelum mereka menyimpan wang hasil keringat mereka di bank atau membeli manfaat insurans atau takaful.

Ia juga melindungi mereka daripada penipuan dan mustahak bagi orang ramai untuk mengetahui bahawa perlindungan oleh PIDM adalah secara automatik.

Ketua Pegawai Eksekutif PIDM Rafiz Azuan Abdullah berkata konsumer kewangan tidak perlu membayar apa-apa, bukan seperti apa yang didakwa oleh ‘scammer’ yang cuba menipu orang ramai dengan meminta bayaran wang untuk mendapatkan perlindungan PIDM bagi produk kewangan.

“Kami akan terus berusaha memupuk kepercayaan dan keyakinan terhadap PIDM, selaras dengan peningkatan pengetahuan orang ramai.

Kepercayaan dan keyakinan perlu agar pendeposit atau pemilik manfaat polisi insurans dan sijil takaful tidak panik sekiranya sesebuah institusi ahli mengalami kegagalan, kerana PIDM akan melindungi mereka dalam situasi tersebut,” katanya.

Pada tahun 2020, PIDM terus meningkatkan visibilitinya di ruangan media sosial Facebook, dan membentuk perkongsian strategik bersama United Nations Capital Development Fund (UNCDF) dan Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) untuk menambah baik daya ketahanan kewangan bagi golongan masyarakat tertentu.

PIDM juga berjaya melaksanakan hampir semua bidang tumpuan utama yang berkaitan dengan kesediaan meskipun berdepan cabaran dalam persekitaran operasi.

“PIDM akan terus memantau persekitaran dan berusaha untuk sentiasa berada dalam keadaan bersedia bagi melaksanakan mandatnya sekiranya perlu berbuat demikian. PIDM juga akan terus memantapkan mesej utama mengenai sistem perlindungannya untuk membantu mengekalkan keyakinan awam terhadap sistem kewangan,” kata Rafiz.

PIDM mempunyai 92 institusi ahli (42 bank ahli dan dan 50 ahli penginsurans).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan