Isu Siren Ambulans: Polis Akan Panggil Individu Tular Video

13/12/2025 09:13 AM

MELAKA, 13 Dis (Bernama) -- Polis Melaka akan memanggil individu yang menularkan video berkaitan anggota trafik didakwa menghalang ambulans dan memberikan laluan kepada konvoi delegasi pelabur dari China pada Khamis lepas, dalam masa terdekat.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata pihaknya akan membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian berhubung perkara itu.

“Kita terima dan memang mengalu-alukan maklumat daripada orang awam jika berkaitan dengan salah laku polis, tetapi kalau membabitkan perkara yang menjatuhkan fitnah kepada polis, perkara ini memang kita tolak.

“Kita tidak akan beri muka dan saya akan siasat perkara ini. Kita akan pastikan orang yang sengaja buat fitnah terhadap polis akan diambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Legacy 04 RX-Z X 125ZR Melaka Attack yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Dataran Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, di sini malam tadi.

Terdahulu, Dzulkhairi dalam kenyataan menegaskan bahawa anggota trafik tidak menghalang pergerakan sebuah ambulans seperti yang didakwa dalam video tular, manakala bunyi siren yang kedengaran dalam rakaman itu ialah milik polis yang sedang menjalankan kawalan lalu lintas semasa mengiringi konvoi delegasi pelabur dari China.

Mengulas tentang tiga suspek lelaki yang ditembak mati di Durian Tunggal, Alor Gajah baru-baru ini, Dzulkhairi berkata siasatan pihaknya mendapati wanita yang mendakwa seorang daripada suspek yang ditembak mati itu merupakan suaminya adalah tidak benar.

Beliau berkata wanita terbabit dan suspek itu hanyalah pasangan kekasih dan telah tinggal bersama-sama selama tiga tahun, manakala isteri sebenar suspek pula berada di Johor.

“Wanita berkenaan mempunyai 10 rekod jenayah sejak 2012 berkaitan kes curi kenderaan dan pernah ditahan di Jasin pada Julai lepas.

“Bapa wanita itu juga mempunyai 24 kes jenayah lampau dan kita masih mengesan lelaki ini kerana mempunyai dua laporan polis berkaitan kes curi kenderaan dan curi di dalam bangunan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan