Adam Radlan Akan Memberi Keterangan Mengenai Siasatan Kes MEX II – SPRM

10/12/2025 03:15 PM

SHAH ALAM, 10 Dis (Bernama) – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad akan tampil memberikan keterangan berkaitan siasatan projek Pembinaan Lebuh Raya Putrajaya (MEX II) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata Adam Radlan yang dipercayai berada di United Kingdom, telah memberi jaminan untuk kembali dan memberi kerjasama penuh kepada agensi itu dalam siasatan kes tersebut.

"Sebelum ini Adam Radlan tidak ada dalam negara, dan kita perlukan bantuan beliau… jadi SPRM sudah berhubung dengan beliau baru-baru ini, dan dijangka pulang ke Malaysia bulan ini.

“Peguamnya, Tan Sri Shafie Abdullah, juga telah menghantar surat kepada kami memberi jaminan berkaitan perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis SPRM-UiTM Inspirasi 2025: Hari Integriti dan Kepimpinan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam, di sini hari ini.

Terdahulu, Azam yang juga Profesor Adjung UiTM menyampaikan ucaptama bertajuk “Integriti Teras Kepimpinan, Amanah Asas Kejayaan”, yang turut dihadiri Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin.

Sebelum ini, media melaporkan SPRM sedang mengesan Adam Radlan dengan alamat terakhir di A16-2 Sunway Pallazio, Jalan Sri Hartamas 3, Sri Hartamas, Kuala Lumpur bagi membantu siasatan berhubung projek pembinaan MEX II ke KLIA bermula dari Persimpangan Putrajaya dan berakhir di KLIA.

Beliau sebelum ini turut berdepan 12 pertuduhan, lima bagi kesalahan rasuah berkait projek Jana Wibawa dan tujuh lagi bagi kesalahan pengubahan wang haram di bawah AMLA, namun dibebaskan oleh mahkamah selepas SPRM bersetuju menawarkan kompaun sebanyak RM4.1 juta kepada Adam Radlan berdasarkan representasi yang dikemukakan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan