Rasuah: Shamsul Iskandar, Albert Tei Akan Didakwa Di Mahkamah Sesyen KL Hari Ini

04/12/2025 08:47 AM

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan ahli perniagaan Albert Tei akan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini berhubung pertuduhan rasuah.

Menerusi semakan sistem mahkamah, kes Shamsul Iskandar, 50, dan Tei, 37, akan disebut di hadapan Hakim Suzana Hussin pada 9 pagi.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki pada sidang media berkata kedua-dua individu itu bakal berdepan lima pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan satu lagi pertuduhan tambahan di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Jumaat.

Beliau berkata pertuduhan membabitkan Seksyen 17(a) Akta SPRM bagi kesalahan menerima suapan dan Seksyen 17(b) bagi kesalahan memberi suapan, manakala siasatan terhadap kedua-duanya dibuka di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Shamsul Iskandar dan Tei direman enam hari bermula 29 Nov, selepas Mahkamah Majistret Putrajaya membenarkan permohonan SPRM untuk melengkapkan siasatan.

Kes itu berkaitan dakwaan bahawa Tei memberi rasuah kepada Shamsul Iskandar bagi mendapatkan semula sejumlah dana yang dikatakan telah diagih kepada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan