IPOH, 2 Dis (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki disyaki terlibat dalam penemuan satu objek menyerupai bom di sebuah kedai barangan runcit 24 jam di Manjung Point, Sitiawan, semalam.
Ketua Polis Daerah Manjung ACP Hasbullah Abd Rahman berkata kejadian berlaku pada10.30 malam apabila seorang pekerja premis menyedari kehadiran objek mencurigakan itu yang diletakkan di atas rak makanan.
“Bertindak atas maklumat orang awam, pasukan polis bersama Unit Pemusnah Bom (UPB) IPD Manjung dikerahkan ke lokasi dan kita turut menahan seorang lelaki berusia 34 tahun di hadapan premis berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden itu.
“Siasatan awal mendapati objek berkenaan tidak berfungsi dan tidak mengandungi bahan letupan selain UPB mengesahkan objek berkenaan tidak berbahaya berikutan ketiadaan bahan letupan selain litar yang tidak lengkap,” katanya.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ancaman yang boleh mendatangkan kegusaran awam.
“Polis memandang serius dan akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap sebarang bentuk ancaman keselamatan, terutama yang boleh mengganggu ketenteraman awam,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial