SHAH ALAM, 2 Dis (Bernama) -- Operasi perobohan kediaman di Kampung Jawa, Klang bagi projek Seksyen 3 Lebuhraya Pantai Barat (WCE) terkawal dan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini berlaku.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata sepanjang operasi dijalankan bermula pagi tadi, masyarakat setempat telah memberikan kerjasama yang baik dengan polis menempatkan jumlah keanggotaan mencukupi bagi kawalan ketenteraman.
"Saya ucapkan terima kasih, tiada tangkapan setakat ini dan pihak polis sentiasa membuat persiapan bagi memastikan keadaan terkawal," katanya pada sidang media kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor di sini hari ini.
Sebelum ini, Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor Datuk Borhan Aman Shah dilaporkan berkata Kerajaan Selangor bersetuju memberikan tambahan masa selama dua minggu bermula 10 Nov hingga 24 Nov kepada 19 penduduk Kampung Jawa yang terlibat dalam arahan mengosongkan tanah masing-masing bagi kerja-kerja pembinaan terbabit.
Pada 3 Nov lepas, Borhan dilaporkan berkata kerajaan negeri memberikan tempoh tujuh hari (hingga 10 Nov) kepada penduduk terlibat untuk mengosongkan tanah masing-masing selepas dipersetujui dalam mesyuarat yang diadakan bersama penduduk terlibat serta agensi berkaitan antaranya WCE dan Pejabat Tanah Galian Selangor serta pihak berkuasa tempatan.
Sebelum ini media melaporkan keengganan 19 pemilik tanah di Kampung Jawa mengosongkan kediaman melibatkan jajaran 150 meter menjadi punca utama projek Lebuhraya WCE yang kini lebih 90 peratus siap masih tergendala.
Lebuhraya WCE merupakan projek infrastruktur utama negara melibatkan rangkaian sepanjang 233 kilometer yang dirancang bagi menghubungkan Banting, Selangor ke Taiping, Perak serta turut berfungsi sebagai laluan alternatif ke Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) bagi mengurangkan kesesakan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial