Polis Tahan Lelaki Bawa Lima Migran Myanmar Tanpa Dokumen Di Jeli

01/12/2025 12:04 PM

KOTA BHARU, 30 Nov (Bernama) -- Tindakan pantas pasukan peronda polis menahan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan berjaya menggagalkan cubaan seorang lelaki untuk membawa masuk lima migran Myanmar tanpa dokumen sah di kawasan Puspen Jeli semalam.

Insiden pada 1.30 tengah hari itu menyaksikan pemandu Perodua Bezza biru bernombor pendaftaran KEF2304 bertindak melarikan diri selepas diarahkan berhenti sebelum kenderaan tersebut terbabas di tepi jalan dan suspek berjaya diberkas.

Ketua Polis Daerah Jeli Superintenden Kamarulzaman Harun berkata pemeriksaan mendapati kesemua lima penumpang iaitu lelaki warga Myanmar tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan dipercayai dibawa masuk untuk bekerja di kawasan Gerik dengan bayaran RM200 bagi setiap migran.

Beliau berkata semakan mendapati pemandu terbabit memiliki empat rekod kesalahan berkaitan dadah manakala ujian air kencing mendapati hanya lelaki tempatan itu positif metamfetamina.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 55E dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas. 

"Permohonan reman ke atas semua tangkapan dibuat mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dan di bawah Akta Imigresen 1959/63," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan