Pemilik Tadika Rugi RM1.3 Juta Terperdaya Pelaburan Saham Tidak Wujud

28/11/2025 09:12 PM

JOHOR BAHRU, 28 Nov (Bernama) -- Seorang pemilik tadika mendakwa kerugian RM1.3 juta selepas terperdaya dengan pelaburan saham dalam talian palsu.

Ketua Polis Johor CP Datuk Ab Rahaman Arsad berkata wanita berusia 42 tahun itu telah melihat iklan pelaburan di media sosial yang menawarkan keuntungan tinggi dan lumayan pada September lepas. 

Beliau berkata mangsa kemudiannya berhubung dengan suspek untuk mendapatkan maklumat lanjut dan telah dijanjikan keuntungan sehingga 41 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan yang dibuat.

"Mangsa yang tertarik dengan keuntungan yang dijanjikan telah membuat (transaksi) pembayaran berjumlah RM1.3 juta ke beberapa akaun bank atas arahan suspek, antara 6 hingga 21 Nov lepas. 

"Bagaimanapun setelah pembayaran dibuat, suspek terus mendesak mangsa untuk memasukkan sejumlah wang tambahan kononnya bagi tujuan pengeluaran 'keuntungan'. Mangsa yang gagal menerima keuntungan seperti dijanjikan percaya telah ditipu, sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Ab Rahaman berkata kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan tipu yang membawa hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan maksimum 10 tahun dengan sebat serta boleh dikenakan denda.

"Pada masa sama, kita ingin menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati dan tidak mudah terperdaya dengan tawaran pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan tinggi dan tidak munasabah, lebih-lebih lagi yang dilihat melalui media sosial," katanya. 

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan