Anggota Polis Didakwa Peroleh Suapan RM500 Tidak Lapor Kesalahan Khalwat

20/11/2025 11:59 PM

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Seorang anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM500 daripada seorang lelaki supaya tidak melaporkan kesalahan khalwat kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Lans Koperal Che Mohamad Aswanee Che Ali, 35, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, didakwa menerima wang itu daripada seorang lelaki berusia 28 tahun melalui pindahan dalam talian ke akaun bank miliknya.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan

Che Mohamad Aswanee juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu menerima wang tunai RM500 daripada lelaki sama tanpa balasan melalui akaun bank sama di tempat dan tarikh serupa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Taqiuddin Yahya.

Hakim Suzana Hussin membenarkan Che Mohamad Aswanee diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM selain dilarang mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai dan menetapkan 9 Jan 2026 untuk sebutan kes.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan