MARANG, 14 Nov (Bernama) -- Seorang anggota polis cedera di tangan selepas dirempuh samseng jalanan dalam Ops Motosikal di Jalan Medan Jaya-Rusila di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Marang Supt Mohd Sofian Redzuan berkata pihaknya telah melakukan serbuan terhadap sekumpulan penunggang motosikal yang berkumpul dan membuat bising di lokasi berkenaan kira-kira 6.45 petang.
Beliau berkata ketika serbuan itu, seorang daripada penunggang motosikal iaitu remaja berusia 14 tahun telah bertindak agresif dengan merempuh Koperal Nor Asri Muhammad, 37.
"Ops Motosikal yang dijalankan oleh dua pegawai dan 22 anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang semalam mendapati sekumpulan penunggang motosikal beraksi dengan cara berbahaya serta membuat bunyi bising di sekitar Jalan Medan Jaya-Rusila hingga mengganggu ketenteraman awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Sofian berkata remaja terbabit ditahan manakala motosikalnya turut dirampas untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Beliau berkata dalam serbuan itu, pihaknya turut menahan 28 kanak-kanak dan remaja berusia antara 10 hingga 17 tahun serta menyita 24 motosikal mengikut Seksyen 64 APJ 1987.
"Sebanyak 119 saman telah dikeluarkan terhadap penunggang motosikal atas pelbagai kesalahan lalu lintas,” katanya sambil menambah ibu bapa diingatkan agar lebih peka terhadap pergerakan anak-anak khususnya melibatkan penggunaan motosikal.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial