Kes Tembak Di Stesen Minyak: Tiga Lelaki Tempatan Ditahan - Polis

14/11/2025 01:40 PM

SHAH ALAM, 14 Nov (Bernama) -- Polis mengesahkan tiga individu termasuk seorang remaja telah ditahan setakat ini bagi membantu siasatan kes tembak di sebuah stesen minyak di Bukit Tinggi, Klang dekat sini Jumaat lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata kesemua individu tersebut ialah lelaki warga tempatan berusia antara 19 hingga 35 tahun.

“Tangkapan dibuat di sekitar Klang dengan kesemua mereka kini ditahan reman hingga 17 Nov ini,” katanya pada sidang media pelupusan barang kes dadah di sini hari ini.

Berhubung dakwaan kes itu melibatkan kongsi gelap, Shazeli berkata pada peringkat ini pihaknya menyiasat daripada pelbagai aspek dan tidak hanya menjurus kepada kongsi gelap semata-mata.

“Dari segi siasatan, kita perlu lihat daripada pelbagai aspek berdasarkan latar belakang si mati (mangsa),” katanya tanpa mengulas lanjut. 

Pada Selasa lepas, Shazeli dilaporkan berkata mangsa kes tembak itu ialah individu yang dikehendaki polis di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) selain lelaki berusia 34 tahun itu juga memiliki beberapa rekod jenayah lain. 

‎-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan