KUANTAN, 12 Nov (Bernama) -- Dua kontraktor wanita masing-masing didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku menyamar sebagai pegawai polis bagi tujuan menipu seorang wanita pada Oktober lepas.
Nor Farahanis Mohammad Hanizam, 31, dan Noor Afiqah Aman Shah, yang masing-masing berdepan dua pertuduhan, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Ellyna Othman.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa telah menyamar sebagai pegawai polis untuk menipu seorang wanita berusia 53 tahun sehingga mendorong mangsa membuat bayaran sebanyak RM400 dan RM250 bagi menyelesaikan saman membabitkan kemalangan anaknya.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Balok Permai, Jalan Kuantan-Kemaman di sini pada 8.11 pagi 3 Okt lepas dan pada 9.39 pagi 10 Okt lepas mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM4,000 bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan kedua-dua tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Firdaus Ahmad Mokhlis manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Farah Atiqah Asruddin dan Azahari Matiasin.
Terdahulu, pembelaan merayu hukuman denda minimum atas alasan pengakuan bersalah anak guam mereka telah menjimatkan masa mahkamah dan mereka juga bertanggungjawab terhadap keluarga termasuk anak-anak yang perlu ditanggung.
Bagaimanapun, Muhammad Firdaus memohon mahkamah mengenakan denda setimpal sebagai pengajaran kerana tertuduh melakukan penyamaran demi kepentingan peribadi sehingga menyebabkan kerugian kepada mangsa.
Di mahkamah berasingan, Nor Farahanis dan Noor Afiqah mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan menyamar sebagai polis bagi tujuan penyelesaian kes khalwat pada Julai dan September lepas.
Mereka membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa telah menyamar sebagai pegawai polis terhadap seorang lelaki berusia 22 tahun sehingga mendorong mangsa membuat tiga pembayaran dengan jumlah keseluruhan RM1,749 bagi menyelesaikan kes khalwatnya.
Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Sungai Karang dan Gebeng di sini antara 9 Julai lepas dan 2 Sept lepas.
Pendakwaan kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Nabilla Huda Jasmani manakala kedua-dua tertuduh diwakili Nurul Syafiqa Syeba Atan daripada YBGK.
Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM6,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Dis untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial