Dua Pegawai Bomba Temui Mangsa Kemalangan Yang Hilang Sejak Semalam

12/11/2025 04:46 PM

TASEK GELUGOR, 12 Nov (Bernama) -- Dua pegawai bomba telah menyelamatkan mangsa kemalangan yang ‘hilang’ sejak semalam di Jalan Pokok Machang, di sini hari ini.

Ketua Zon 4 (Butterworth) Penolong Kanan Penguasa Bomba II (PKPgB II) Rosli Zakaria berkata dua pegawai berkenaan, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Luqman Mahmud dan PKPgB Zainudin Abu Bakar Bakar menemui mangsa iaitu seorang wanita berusia 23 tahun yang tersangkut di tepi semak kawasan paya.

“Dua pegawai tersebut baru selesai tugasan siasatan kebakaran, kebetulan melalui lokasi dan telah terserempak dengan dua ahli keluarga mangsa yang sedang mencari wanita itu selepas motosikalnya dijumpai di tepi jalan. 

“Mereka kemudian membantu usaha pencarian sebelum akhirnya menemui mangsa kira-kira 100 meter dari motosikalnya dalam keadaan tersangkut di tepi semak berhampiran paya,” katanya.

Rosli berkata menurut ahli keluarga, mangsa dikatakan keluar dari rumah malam tadi dan dipercayai telah terbabas lalu terjatuh ke dalam paya sebelum dihanyutkan arus ke lokasi tersebut. 

Beliau berkata pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tasek Gelugor dan petugas perubatan dihubungi pada 12.35 tengah hari tadi bagi membantu mengeluarkan mangsa yang patah tangan dan cedera di bahagian kaki sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Dalam pada itu, beliau turut memuji keprihatinan dan tindakan pantas dua pegawai tersebut hingga berjaya menyelamatkan nyawa mangsa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan