SEREMBAN, 12 Nov (Bernama) -- Seorang pelajar lelaki warga China ditemui mati dipercayai terjatuh dari tingkat 18 sebuah kondominium di Bandar Baru Nilai di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Nilai Supt Abdul Malik Hasim berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam yang menghubungi talian kecemasan 999 memaklumkan terdapat seorang lelaki warga asing ditemui terbaring di aras lima bangunan berkenaan pada 7 pagi tadi.
"Siasatan awal mendapati mangsa berusia 26 tahun merupakan seorang pelajar yang tinggal di kondominium tersebut bersama seorang rakan senegara," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata pemeriksaan awal pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan mendapati tiada kesan kecederaan luaran yang mencurigakan pada tubuh mangsa, selain pendarahan di bahagian telinga dan ruam pada badan.
Abdul Malik berkata tiada barangan peribadi mangsa dilaporkan hilang di dalam rumahnya.
Beliau berkata mayat dihantar ke Hospital Rembau untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian dan kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tiada unsur jenayah dikesan.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial