KPDN Serbu 6 Premis Proses Minyak Pelincir Tiruan Di Ampang, 42 Ditahan

12/11/2025 04:24 PM

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Sebanyak 42 individu termasuk 28 warga asing ditahan dalam serbuan terhadap enam kilang disyaki memproses, membekal dan memasarkan minyak pelincir kenderaan tiruan pelbagai jenama di Kampung Baru Ampang pagi tadi.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Selangor Mohd Zuhairi Mat Radey berkata dalam serbuan pada 10 pagi tadi, pihaknya turut merampas pelbagai jenis barangan antaranya mesin memproses dan membungkus minyak serta minyak pelincir bernilai kira-kira RM1 juta.

Beliau berkata serbuan yang diadakan dengan kerjasama Bahagian Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dan wakil cap dagangan, dilakukan hasil risikan selama dua bulan terhadap kesemua premis terbabit.

“Enam premis berkenaan terletak berdekatan antara satu sama lain dan masing-masing mempunyai peranan antaranya membuat botol minyak pelincir, memproses dan memasukkan minyak pelincir ke dalam bot, stor penyimpanan dan pejabat urusan.

“Mereka disyaki menggunakan minyak pelincir terpakai yang disuling semula sebelum dicampur dengan minyak pelincir asas dan pewarna tiruan sebelum dibungkus untuk dipasarkan di pasaran tempatan,” katanya dalam sidang media di lokasi serbuan di sini hari ini.

Beliau berkata semua yang ditahan disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019 dan jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM10,000.00 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan atau dipenjara selama tempoh tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan