KUANTAN, 11 Nov (Bernama) -- Dua beranak cedera selepas bergelut dengan pembantu rumah yang bersenjatakan pisau di kediaman mereka di KotaSAS di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Ashari Abu Samah berkata kejadian kira-kira 8.30 pagi itu berlaku ketika mangsa seorang wanita berusia 57 tahun berada di tingkat atas rumah sebelum dikejutkan oleh jeritan anak lelakinya, 28, dari aras bawah.
Beliau berkata ketika menuruni tangga, wanita itu mendapati anaknya sedang bergelut dengan pembantu rumah warga asing berusia 44 tahun di ruang tamu, dan ketika cuba meleraikan pergaduhan, suspek dipercayai melibas pisau hingga terkena kepala wanita terbabit.
“Wanita itu telah bertindak merampas pisau sebelum pembantu rumah terbabit berlari ke arah dapur untuk mengambil pisau lain, tetapi kedua-dua mangsa menghalangnya hingga berlaku pergelutan sekali lagi di di dapur.
“Mangsa wanita telah mengambil semua pisau di dapur dan mencampakkannya keluar melalui tingkap sebelum menghubungi talian 999,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ashari berkata akibat kejadian itu, mangsa lelaki putus ibu jari tangan kiri, luka di kepala dan kaki manakala ibunya luka di kepala serta ibu jari tangan kiri.
"Kedua-dua mangsa dan suspek yang turut cedera di pergelangan tangan kiri telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Menurut Ashari, polis telah merampas enam pisau pelbagai jenis selain satu gunting di lokasi kejadian.
Beliau berkata suspek mendakwa mengalami tekanan bekerja di rumah teres dua tingkat berkenaan namun punca utama masih dalam siasatan.
“Pembantu rumah itu telah ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial