230 Kes AMLATFPUAA Babit CEO, Tiga Bekas Akauntan GISBH Dibicara Hadapan Hakim Sama

11/11/2025 07:07 PM

SHAH ALAM, 11 Nov (Bernama) -- Proses pendakwaan 230 kes pengubahan wang haram lebih RM24.1 juta membabitkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan tiga bekas akauntan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), akan dibicarakan di hadapan hakim yang sama.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud (Mahkamah Sesyen Jenayah 2) memutuskan sedemikian selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes dihadapi kesemua tertuduh untuk dibicarakan di hadapan Hakim Fatimah Zahari (Mahkamah Sesyen Jenayah 11, Shah Alam).

Pertuduhan itu membabitkan Nasiruddin Mohd Ali, 66, yang berdepan 77 pertuduhan melibatkan RM10,084,323.70; Hamimah Yakub, 73, (59 pertuduhan, RM2,145,357.62); Asmat @ Asmanira Muhammad Ramly, 45, (43 pertuduhan, RM3,806,392.01); dan Mohd Khushairi Osman, 54, (51 pertuduhan, RM8,136,047.51).

Semasa prosiding hari ini Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul berkata permohonan untuk menggabungkan kes, dibuat bagi menjimatkan kos dan masa pihak-pihak yang terlibat.

“Ia juga akan memudahkan kehadiran saksi serta pihak-pihak terlibat, selain membantu dalam persediaan praperbicaraan dan melancarkan perjalanan perbicaraan,” katanya yang hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izham Mohd Marzuki.

Peguam Datuk Rosli Kamaruddin mewakili tiga tertuduh Nasiruddin, Asmat @ Asmanira dan Mohd Khushairi serta peguam Nurainaa Kamilah Zalizan yang mewakili Hamimah, tidak membantah permohonan tersebut.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan berkenaan dan menetapkan sebutan semula kes pada 29 Jan 2026.

Pada 10 Sept, Nasiruddin dan tiga bekas akauntan syarikat itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapi keempat-empat mereka.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di cawangan bank sekitar Selangor antara 2020 hingga 2024, melibatkan transaksi kepada beberapa pihak antaranya akaun bank milik GISBH Sdn Bhd, GISB Mart Sdn Bhd, GISB Travel and Tours Sdn Bhd dan syarikat pusat jagaan kanak-kanak.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613), yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, ia boleh membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.  

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan