Jumlah Panggilan Palsu Meningkat Tiga Tahun Berturut-turut - Bomba

11/11/2025 02:55 PM

PUTRAJAYA, 11 Nov (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memandang serius peningkatan jumlah panggilan palsu yang diterima sejak tiga tahun kebelakangan ini, meskipun jumlahnya masih rendah berbanding panggilan kecemasan sebenar.

JBPM memaklumkan, sebanyak 141 panggilan palsu direkodkan pada 2023, meningkat kepada 196 pada 2024 dan 211 panggilan setakat September lepas.

“Walaupun jumlah panggilan palsu masih rendah secara relatif, trend peningkatan dari tahun ke tahun amat membimbangkan dan menuntut perhatian serius.

“Panggilan palsu bukan sahaja menjejaskan kecekapan perkhidmatan kecemasan tetapi juga menimbulkan risiko melibatkan nyawa apabila sumber operasi dialihkan tanpa sebab munasabah,” menurut JBPM dalam kenyataan hari ini.

Berdasarkan rekod, JBPM menerima 129,114 panggilan kecemasan pada 2023, 118,481 pada 2024 dan 91,096 panggilan setakat September 2025.

Menurut JBPM, setiap panggilan yang diterima dalam konteks pasukan penyelamat merupakan peluang berharga untuk menyelamatkan nyawa, namun apabila berlaku panggilan palsu, ia bukan sekadar satu bentuk salah guna sistem tetapi memberi implikasi serius terhadap masa tindak balas, penggunaan bahan bakar serta menjejaskan tahap fizikal dan mental anggota di lapangan.

“Paling membimbangkan, ia mewujudkan suatu lompang perlindungan apabila pasukan penyelamat tidak dapat digerakkan ke lokasi kejadian yang memerlukan bantuan segera, sekali gus boleh mengorbankan nyawa serta menjejaskan keberkesanan keseluruhan sistem kecemasan negara.

“Oleh itu, orang awam diingatkan agar tidak membuat panggilan palsu atau menyalahgunakan talian kecemasan kerana perbuatan berkenaan satu kesalahan di bawah undang-undang,” menurut jabatan itu.

JBPM turut mengingatkan orang ramai bahawa setiap panggilan yang diterima melalui talian 999 akan direkod dan dinilai sebagai panggilan sebenar atau palsu.

Sehubungan dengan itu, tindakan membuat panggilan palsu ke talian kecemasan 999 adalah satu kesalahan serius yang boleh didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian dan didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

--  BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan