SHAH ALAM, 20 Julai (Bernama) -- Polis berjaya mengesan pemilik kereta Proton Saga yang tular di media sosial selepas dipercayai dipandu seorang kanak-kanak berusia 11 tahun sebelum kenderaan itu terbabas di Jalan Telok Gong, Klang semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Ramli Kasa berkata dalam kejadian sekitar 10 pagi itu, pihaknya turut mengesan tiga kanak-kanak, dua daripadanya adik-beradik pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan sepupu mereka, iaitu warga tempatan.
"Siasatan awal mendapati kereta berkenaan dipandu ibu kepada dua beradik yang juga pemegang kad UNHCR yang dalam perjalanan dari Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Utara Klang menuju ke rumah kakaknya di Telok Gong, Klang. Si ibu meninggalkan anak-anak seketika untuk ke tandas.
"(Ketika ibunya ke tandas), peluang itu diambil oleh anaknya yang berusia 11 tahun yang bertindak mengambil kunci kereta dan mengajak adiknya berusia tujuh tahun serta seorang sepupu untuk pergi ke kedai," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ramli berkata kanak-kanak itu memandu sejauh dua kilometer sebelum gagal mengawal kenderaan ketika menghampiri kawasan kedai dan terbabas ke dalam longkang di bahu jalan.
Siasatan polis mendapati tiada kecederaan dilaporkan dan hanya membabitkan kerosakan kecil di bahagian hadapan kereta berkenaan.
Beliau berkata ibu bapa kanak-kanak yang terlibat telah dipanggil bagi memberi keterangan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu memandu dengan tidak bertimbang rasa dan Seksyen 39(1) akta sama kerana memandu tanpa lesen (bawah umur) serta Akta Kanak-Kanak 2001 bagi mengenal pasti sebarang unsur pengabaian.
Susulan itu, Ramli menasihatkan orang ramai supaya lebih peka dan berhati-hati terhadap pergerakan anak-anak termasuk tidak membiarkan mereka memandu atau menunggang sebarang kenderaan yang boleh mendatangkan risiko kepada keselamatan diri serta awam.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman video memaparkan sebuah kereta Proton Saga berada di dalam longkang, dipercayai terbabas selepas dipandu seorang kanak-kanak di Jalan Telok Gong, dekat sini semalam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial