Autogate Kembali Beroperasi Secara Berperingkat - AKPS

19/07/2025 10:44 PM

PUTRAJAYA, 19 Julai (Bernama) -- Sistem pagar automatik (autogate) bagi pelawat asing, yang mengalami gangguan sejak semalam, mula beroperasi secara berperingkat pada 6 petang tadi. 

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam kenyataan malam ini memaklumkan sistem itu bagaimanapun masih belum pulih sepenuhnya.

"Kerja-kerja pembaikan dan penstabilan sistem masih lagi diteruskan bagi memastikan ia dapat kembali beroperasi pada kapasiti optimum," menurut kenyataan itu.

Menurut AKPS keadaan di semua pintu masuk utama negara yang terjejas dengan kegagalan sistem tersebut adalah terkawal dan langkah mitigasi diteruskan bagi memastikan aliran pergerakan pelawat asing kekal lancar.

"AKPS akan terus memastikan sistem kembali pulih bagi memastikan pengoperasian harian pelawat asing keluar masuk ke pintu utama negara dalam keadaan terkawal dan selamat," menurut agensi itu.

Petang tadi, AKPS mengesahkan gangguan sistem sejak semalam berpunca daripada gangguan integrasi data yang menyebabkan proses semakan silang dalam sistem MyIMMS menjadi perlahan.

Kesesakan dan barisan menunggu yang panjang dilaporkan di beberapa lokasi utama termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2 serta Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Johor.

Susulan itu, AKPS memaklumkan langkah mitigasi telah diambil bagi melancarkan aliran pelawat termasuk pengaktifan semua kaunter manual dan penugasan anggota tambahan di pintu masuk terjejas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan