11 Murid Cedera Van Sekolah Dinaiki Terbalik

18/07/2025 06:30 PM

JOHOR BAHRU, 18 Julai (Bernama) -- Sebanyak 11 murid cedera selepas van sekolah dinaiki mereka terbalik di Jalan Abdul Samad, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata kemalangan berlaku pada 7.01 pagi selepas van itu dipercayai melanggar lubang lurang pembetung di kiri jalan yang mengakibatkan kenderaan itu hilang kawalan lalu terbalik.

“Sebanyak 17 mangsa terlibat dalam kemalangan itu terdiri daripada pemandu van iaitu lelaki berusia 41 tahun dan 16 murid serta pelajar sekolah berusia sembilan hingga 15 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua yang cedera ringan dirawat di Zon Kuning Hospital Sultanah Aminah, di sini.

Kemalangan itu, katanya sedang disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau bukti seperti rakaman kes cubaan mencuri dengan membiarkan lubang lurang itu terbuka hingga mengakibatkan van terbalik, agar tampil membantu siasatan.

“Saya dimaklumkan penutup lurang itu adalah milik Telekom Malaysia (TM) dan mereka mengesahkan tiada kerja-kerja di kawasan itu dalam tempoh terdekat oleh kontraktor mereka. 

"Berdasarkan lurang yang telah terbuka, dipercayai ada unsur cubaan mencuri penutupnya,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau memohon bantuan semua pihak yang mempunyai maklumat berkaitan supaya tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan bagi membantu siasatan.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor Aznan Tamin berkata van itu dinaiki murid dan pelajar daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mohd Khalid, SMK Aminuddin Baki dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Jalan Yahya Awal.

Aznan memberi jaminan kesemua mangsa akan menerima rawatan dan pemantauan kesihatan terbaik.

Pihak berkuasa juga, katanya sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kemalangan dan tindakan sewajarnya akan diambil demi menjamin keselamatan pelajar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan