Warga Bangladesh Disyaki Terlibat Gerakan Militan IS Ditahan Di Bawah SOSMA - KPN

30/06/2025 01:51 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Beberapa individu daripada 36 warga Bangladesh yang disyaki terlibat gerakan militan berasaskan fahaman ekstremis Islamic State (IS) ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata ada antara mereka yang ditahan telah dihantar pulang ke negara asal.

“Ada yang kita simpan dan tahan di bawah SOSMA. Selebihnya kita telah usir keluar manakala beberapa lagi masih lagi dalam tahanan dan memerlukan siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas majlis serah tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman hari ini.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan mengesahkan tiada rakyat Malaysia yang direkrut dalam satu rangkaian militan berkaitan warga Bangladesh, seperti yang didedahkan baru-baru ini.

Beliau berkata hasil siasatan Pasukan Cawangan Khas PDRM, kumpulan yang membawa masuk fahaman pelampau berasaskan ideologi IS ke dalam negara ini melibatkan warga Bangladesh sahaja.

Pada Jumaat lepas, Saifuddin Nasution juga dilaporkan berkata penahanan 36 warganegara Bangladesh itu dilakukan menerusi tiga fasa operasi keselamatan terancang di sekitar Selangor dan Johor bermula 24 April lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan