PUTRAJAYA, 20 Mei (Bernama) -- Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat mengesahkan bahawa beliau belum menerima sebarang tawaran untuk menyambung perkhidmatannya.
Tengku Maimun yang merupakan wanita pertama memegang jawatan itu dijadualkan bersara pada 30 Jun ini apabila mencapai umur persaraan wajib 66 tahun.
"Ia (tawaran) mungkin akan datang, jadi kita tunggu. Jadi buat masa ini, belum," katanya menjawab soalan media selepas majlis angkat sumpah jawatan seorang Hakim Mahkamah Persekutuan dan dua Hakim Mahkamah Rayuan di Istana Kehakiman di sini hari ini.
Turut hadir Hakim Besar Malaya Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli dan Peguam Negara Datuk Mohd Dusuki Mokhtar.
Tengku Maimun berkata beliau masih menunggu tawaran menyambung perkhidmatan bersama-sama Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Nallini Pathmanathan.
Abang Iskandar dijadualkan bersara pada 1 Julai manakala Nallini mencapai umur persaraan wajib pada 21 Ogos.
Ditanya sama ada beliau akan menerima tawaran menyambung perkhidmatan, beliau berkata, "saya rasa saya tidak patut jawab soalan itu, tetapi kita tunggu."
Menurut Perkara 125(1) Perlembagaan Persekutuan, Hakim Mahkamah Persekutuan boleh berkhidmat sehingga umur 66 tahun namun tempoh perkhidmatan mereka boleh dilanjutkan sehingga enam bulan dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Pada majlis itu, Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Lee Swee Seng, 65, mengangkat sumpah jawatan dan taat setia sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan di hadapan Tengku Maimun.
Lee yang merupakan bekas peguam dari Pulau Pinang, dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 31 Mei 2010 dan kemudian sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 19 Feb 2014. Beliau dinaikkan ke Mahkamah Rayuan pada 19 Mei 2019.
Baru-baru ini, Lee mempengerusikan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dalam kes rayuan kerajaan berhubung pemindahan hak milik tanah seluas 263.272 ekar di Duta Enclave. Keputusan dijadualkan pada 24 Jun ini.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Datuk Dr Lim Hock Leng, kedua-duanya berusia 63 tahun, turut mengangkat sumpah jawatan dan taat setia sebagai Hakim Mahkamah Rayuan di hadapan Abang Iskandar.
Hayatul Akmal dari Batu Pahat, Johor, dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 16 Dis 2015 dan dinaikkan ke Mahkamah Tinggi pada 8 April 2019.
Sementara Lim yang juga anak jati Tawau, Sabah, dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 30 Mac 2018 sebelum menjadi Hakim Mahkamah Tinggi pada 25 Mac 2020.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan surat cara pelantikan kepada ketiga-tiga hakim di Istana Negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial