BUKIT MERTAJAM, 10 Mei (Bernama) -- Sebuah gudang yang menyimpan cat serta pelarut di Jalan Permatang Tinggi, Simpang Ampat di sini musnah dalam kebakaran hari ini dan kepulan asap tebal hitam boleh dilihat dari jarak lebih 10 kilometer.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang Mohamad Shoki Hamzah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.27 tengah hari dan jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Perda terus digerakkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, pihak bomba mendapati kebakaran melibatkan sebuah gudang simpanan cat dan pelarut berkeluasan 10,000 kaki persegi di kilang itu sedang terbakar iaitu lebih 70 peratus sebelum merebak ke premis bersebelahan iaitu sebuah gudang menyimpan bahan metanol dan toluena.
"Pihak bomba bertindak menjalankan kerja-kerja pemadaman dan pengawalan dengan dibantu oleh BBP serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata kebakaran itu berjaya dikawal daripada merebak ke gudang lain di kawasan itu pada 2.50 petang dan setakat 4 petang, operasi pemadaman masih diteruskan.
Mohamad Shoki berkata operasi itu membabitkan lebih 100 anggota dan pegawai BBP Bukit Mertajam, Sungai Bakap, Batu Kawan dan Jalan Perak serta PBS berhampiran.
“Operasi akan diteruskan sehingga pihak bomba memastikan semua api dan bara di kawasan kilang itu telah berjaya dipadamkan sepenuhnya bagi memastikan ia selamat," katanya.
Pada masa sama, beliau berkata komander operasi turut melaporkan tiada mangsa terlibat dalam kebakaran itu.
Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan, katanya.
Terdahulu, penduduk Pulau Pinang digemparkan dengan kepulan asap hitam tebal memenuhi ruang udara di Bukit Mertajam yang boleh dilihat dari bahagian pulau negeri itu dan kejadian itu turut dikongsikan di media sosial.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial