APMM Tahan Kapal Kargo Papar Dua Nama Berbeza Pada Radar

09/05/2025 04:06 PM

SHAH ALAM, 9 Mei (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor menahan sebuah kapal kargo yang dikesan memaparkan dua nama berbeza pada radar di kedudukan 0.23 batu nautika timur Pulau Che Mat Zin, dekat sini, semalam.

Pengarahnya Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata kapal dikendalikan nakhoda warga tempatan berusia 63 tahun itu ditahan kira-kira 2 petang oleh bot peronda APMM yang melakukan rondaan rutin Op Ehsan dan Op Tiris 3.0.

Beliau berkata kapal terbabit yang menuju ke Pelabuhan Selatan dikesan memaparkan dua nama berbeza pada radar lalu ditahan untuk diperiksa. 

“Kapal itu turut dikendalikan dua kru warga tempatan berumur 26 dan 35 tahun. 

“Pemeriksaan lanjut mendapati sistem pengenalan automatik (AIS) kapal terbabit meragukan dan disyaki melakukan kesalahan, lalu ditahan dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Abdul Muhaimin berkata kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana sistem AIS kapal memaparkan dua nama berbeza dengan menggunakan nombor identiti pengenalan mudah alih maritim (MMSI) yang sama.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan