SHAH ALAM, 23 April (Bernama) -- Polis akan memanggil seorang pelakon lelaki bagi membantu siasatan kes memukul teman wanitanya sehingga mendatangkan kecederaan.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa pada 7 April lepas dengan mendakwa dipukul di kawasan sekitar Ara Damansara, Petaling Jaya.
Beliau berkata berdasarkan laporan, mangsa cedera di bahagian badan dan muka selepas dipukul dengan tangan oleh suspek.
“Suspek akan dipanggil dalam masa terdekat bagi melengkapkan kertas siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Hussein berkata berdasarkan rekod, mangsa yang sama pernah membuat laporan polis pada tahun lepas atas kes dipukul suspek sama.
Beliau berkata bagaimanapun laporan itu telah ditarik balik oleh mangsa sendiri dan laporan pada 7 April itu adalah yang kedua melibatkan individu yang sama.
Dalam perkembangan lain, Hussein berkata dua daripada tiga penjenayah yang disyaki terlibat dalam kes samun berparang di sebuah taska di Sabak Bernam, dua hari lepas berjaya diberkas semalam.
Beliau berkata kedua-duanya berusia lingkungan 30-an ditahan di sekitar Kelana Jaya dan Shah Alam selain polis merampas kereta jenis Perodua Bezza yang dipercayai digunakan semasa kejadian itu.
“Semakan mendapati kenderaan itu dilaporkan hilang di Sungai Way, Petaling Jaya dan pemeriksaan lanjut turut menemukan sebilah parang sepanjang 72 sentimeter di dalam kereta itu.
“Polis sedang memburu seorang lagi rakan mereka yang masih bebas,” katanya dan menambah kedua-duanyanya positif dadah selain mempunyai rekod lampau berkaitan samun dan dadah.
Menurut laporan media, seorang guru wanita berdepan detik cemas apabila ditampar dan disamun ketika dia bersama seorang lagi guru wanita dan pembantu dapur menunggu kehadiran murid.
Dalam kejadian kira-kira 9.35 pagi itu, tiga suspek yang menaiki kereta jenis Perodua Bezza dan bersenjatakan parang berhenti sebelum meluru masuk ke dalam premis berkenaan serta melarikan dua rantai emas dan telefon bimbit milik mangsa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial