KPDN RAMPAS LEBIH 5,000 LITER DIESEL BERSUBSIDI DI LADANG SAWIT

05/05/2024 02:52 PM

IPOH, 5 Mei (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak merampas 5,510 liter cecair disyaki minyak diesel bersubsidi dalam serbuan di sebuah ladang sawit di Trong, Taiping, semalam.

Pengarahnya Datuk Kamalludin Ismail berkata pihaknya turut menahan dua lelaki berusia 28 dan 56 tahun disyaki pemandu lori dan majikan untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata serbuan dilakukan selepas pihaknya bertindak atas maklumat orang awam dan risikan sejak dua minggu lepas, dengan mendapati modus operandi adalah menggunakan sebuah lori bertutup kanvas bagi membuat pembelian diesel di stesen minyak sekitar Segari dan Manjung secara berulang kali. 

"Minyak diesel itu disimpan di satu premis tidak berlesen dalam ladang sawit dan dipercayai akan dijual  kepada pengguna industri dengan mengambil keuntungan berlipat kali ganda," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kamalludin berkata turut dirampas ialah enam tangki petak, peralatan pam penyedut, kamera litar tertutup dan sebuah lori untuk siasatan lanjut.

Minyak diesel dan kesemua barangan dirampas, katanya dianggar bernilai RM38,389.20, manakala kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan