SPRM JANGKA ADA BEBERAPA TANGKAPAN ISU TUNTUTAN PALSU ANAK MENTERI BESAR - AZAM

25/04/2024 06:00 PM

GUA MUSANG, 25 April (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuat beberapa tangkapan lagi, berhubung kes melibatkan anak seorang menteri besar bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu berjumlah RM600,000.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata tangkapan itu bertujuan membuktikan kesalahan yang berlaku, berhubung kes berkenaan.

Beliau berkata kes ini telah diketahui umum dan suspek terlibat telah ditahan semalam serta siasatan masih diteruskan.

“Beberapa pihak-pihak lain juga akan dipanggil SPRM untuk memberi keterangan kes berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pejabat SPRM cawangan Gua Musang yang baharu di Bangunan Persekutuan Gua Musang, di sini, hari ini.

Selain itu, beliau berkata berkemungkinan permohonan reman baharu bagi kesemua suspek yang ditahan juga akan dibuat, berikutan tempoh masa reman yang diberi tidak mencukupi untuk membolehkan SPRM melengkapkan siasatan awal.

Semalam, anak lelaki seorang menteri besar antara enam direman SPRM bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan dokumen dan tuntutan palsu bernilai RM600,000, sejak dua tahun lepas.

Sementara itu, Azam berkata SPRM akan menumpukan penyiasatan terhadap isu pembinaan projek Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) di Putrajaya, yang bernilai RM25 juta yang melibatkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“…Untuk makluman semua, sebenarnya pembiayaan datang sebanyak RM25 juta daripada pihak FIFA, bukan duit FAM.

“FAM cuma menjalankan perolehan melalui tender dan sebagainya, dan telah dikemukakan kembali kepada FIFA untuk pemilihan yang terakhir dan pihak FIFA telah bersetuju dengan syarikat yang berkaitan,” katanya.

Azam berkata isu ini bukan sahaja FAM yang terlibat, malah FIFA juga kerana ia melibatkan duit mereka.

“Oleh itu, bagi memuaskan hati mereka yang membuat tohmahan isu ini, untuk adil kepada semua pihak maka kami siasat isu berkenaan,” katanya. 

Azam berkata SPRM tidak akan mengambil tindakan berhubung permasalahan pentadbiran yang berlaku di dalam organisasi itu.

“Kami tidak akan ambil tindakan berhubung isu-isu pentadbiran sebagai contoh hal gaji, hal itu ini dan sebagainya.

“Kes ini SPRM menganggap sebagai satu kes yang melibatkan kepentingan awam, maka kita telah melihat pada maklumat yang diberikan jadi kita tumpukan kepada satu isu saja,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan