JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki warga emas ditahan ugut guna batu

25/01/2023 11:10 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jan (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki warga emas berusia 63 tahun yang videonya tular kerana mengugut seorang pemandu dengan menggunakan serpihan batu bata.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul Supt Heisham Harun berkata lelaki itu ditahan pada 3 petang tadi di Balai Polis Sentul selepas membuat laporan mengenai kejadian berkenaan.

Beliau berkata siasatan awal mendapati lelaki itu yang bekerja sebagai pemandu van mempunyai empat rekod kesalahan jenayah lampau dan akan direman esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menakutkan secara jenayah.

"Lelaki itu turut disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana mengeluarkan kata-kata kesat di tempat awam," katanya dalam kenyataan malam ini. 

Heisham berkata terdahulu, mangsa yang merupakan lelaki tempatan berusia 25 tahun membuat laporan polis mengenai kejadian itu pada 2 petang tadi.

Beliau berkata mangsa yang bekerja sebagai ejen hartanah tidak berpuas hati dengan tindakan seorang lelaki yang mengetuk cermin dan membaling sebiji batu ke arah keretanya di lampu isyarat Jalan Metro Prima 1, Kepong di sini pada 28 Dis lepas.

"Sebelum kejadian, mangsa memandu kereta di Jalan Metro Prima dan terdapat sebuah lori menghalang laluannya.

“Suspek yang memandu di belakang mangsa membunyikan hon dan memaksanya meneruskan pemanduan selain memaki hamun kerana tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa mengangkat tangan sebelum beredar," katanya.

Menurut Heisham ketika mangsa berada di lampu isyarat Jalan Metro Prima 1, suspek telah datang ke arah keretanya sambil membawa serpihan batu bata sebelum mengetuk cermin hadapan dan kanan serta membaling objek tersebut ke arah bumbung kereta.

Video kejadian berdurasi 28 saat berkenaan kemudian tular menerusi media sosial.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan RM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2023 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan