BERITA PRU15   Anwar alu-alukan komitmen Warisan sokong pembentukan kerajaan perpaduan | DUN Tioman: Calon BN sambut baik kesediaan calon PH beri laluan | Kedah disaran beri cuti khas hari mengundi Parlimen Padang Serai | Gerakan minta ahlinya fokus PRN tahun depan - Dominic Lau | PH Pahang sokong untuk bersama BN bentuk kerajaan negeri | 
JENAYAH & MAHKAMAH

Wanita Indonesia pukul kucing sehingga mati dipenjara enam bulan

23/11/2022 05:23 PM

PETALING JAYA, 23 Nov (Bernama) -- Seorang wanita warga Indonesia yang bertindak kejam memukul seekor kucing jantan jalanan dengan sebatang penyapu sehingga mati dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Azrul Darus menjatuhkan hukuman itu ke atas peniaga pisang goreng iaitu Hotimah, 60, selepas dia mengaku melakukan kesalahan tersebut di sebuah kedai tidak bernombor di Serdang Jaya, Seri Kembangan di sini pada 7.46 pagi 20 Ogos lepas.

Wanita itu dituduh mengikut Seksyen 29 (1) (a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda minimum 20,000 maksimum RM100,000 atau kedua-duanya.

Hotimah dilihat menangis dan jatuh terduduk di atas bangku dalam kandang tertuduh selepas mendengar hukuman itu.

Mahkamah memerintahkan Hotimah, yang merupakan Orang Kena Saman (OKS), menjalani hukuman penjara bermula hari ini.

Pegawai Pendakwa Mohd Sharif Sabran daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor memohon hukuman berat sebagai pengajaran kepada OKS kerana tindakannya yang disifatkan sebagai sangat kejam.

"Dalam kes ini, OKS telah memukul kucing itu sehingga mati dan ia merupakan makhluk tuhan yang tidak mampu berkata-kata. Kucing itu juga tidak mengganggu atau merosakkan harta benda OKS selain perbuatan OKS memukul kucing ini adalah kesalahan serius dan tidak berperikemanusiaan," katanya.

Hotimah, yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman ringan atas alasan dia menghidap penyakit jantung.

"Saya mengaku melakukan kesalahan itu. Saya minta maaf tuan," katanya.

Berdasarkan fakta kes, Hotimah yang ketika itu menjalankan kerja-kerja pembersihan di sebuah kedai, bertindak memukul kucing yang duduk di atas kerusi di premis tersebut sehingga batang penyapu patah.

Siasatan mendapati OKS telah memukul haiwan tersebut sehingga mati dan terdapat kesan retakan pada tengkorak di bahagian kiri kepala kucing itu.

-- BERNAMA

 

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan