BERITA COVID–19   Malaysia rekod kadar pengangguran terendah sejak krisis COVID-19 pada Jun 2022 | Sifar COVID-19 di Penjara Reman Pulau Pinang sejak Jun tahun lepas | Pemansuhan keperluan isi kad pengembara terpakai kepada warganegara, bukan warganegara - Dr Noor Hisham | Kes harian COVID-19 di Jepun pecah rekod | Vaksin COVID-19 Bangladesh dapat kelulusan untuk diuji pada manusia | 
JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki cedera ditoreh pisau kerana mengadu ke SPRM

06/08/2022 11:32 AM

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Seorang lelaki tempatan ditahan polis tengah malam tadi selepas dipercayai mencederakan individu yang membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atasnya.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata mangsa, lelaki warga tempatan berusia 42 tahun luka di pergelangan tangan kiri dengan kedalaman tiga sentimeter selepas ditoreh pisau oleh suspek yang dikenalinya, pada 4 petang semalam di Jalan Ipoh, di sini.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati berlaku perselisihan faham antara mangsa dan suspek berusia 36 tahun yang tidak berpuas hati dengan aduan dibuat mangsa berhubung kesalahan penyelewengan wang kepada SPRM terhadapnya.

“Sewaktu pertelingkahan, lelaki itu bertindak menoreh tangan kiri mangsa dengan sebilah pisau. Mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan dan perlu menjalani pembedahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beh berkata lelaki itu berjaya ditahan tiga jam selepas pihaknya menerima laporan berhubung insiden itu pada 9.17 malam semalam. 

“Suspek mempunyai tiga rekod pelbagai kesalahan jenayah lampau dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan (menyebabkan cedera menggunakan senjata atau benda merbahaya). Dia akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman bagi membantu siasatan,” katanya.

Beh meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-40482222.

-- BERNAMA

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan