BERITA COVID–19   Malaysia rekod kadar pengangguran terendah sejak krisis COVID-19 pada Jun 2022 | Sifar COVID-19 di Penjara Reman Pulau Pinang sejak Jun tahun lepas | Pemansuhan keperluan isi kad pengembara terpakai kepada warganegara, bukan warganegara - Dr Noor Hisham | Kes harian COVID-19 di Jepun pecah rekod | Vaksin COVID-19 Bangladesh dapat kelulusan untuk diuji pada manusia | 
JENAYAH & MAHKAMAH

Mahkamah putuskan anak lahir di luar negara oleh wanita M'sia tidak layak dapat kerakyatan

05/08/2022 07:10 PM

PUTRAJAYA, 5 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 hari ini memutuskan bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing tidak berhak mendapat kerakyatan Malaysia dari segi undang-undang. 

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Kamaludin Md Said membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan kerajaan, Kementerian Dalam Negeri dan ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Keputusan majoriti itu dipersetujui oleh Hakim Kamaluddin dan Hakim Datuk Azizah Nawawi manakala Datuk S. Nantha Balan pula menentang.

Sebelum ini, Persatuan Sokongan Keluarga dan Kebajikan Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers) dan enam wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing dengan anak kelahiran luar negara, pada 9 Sept 2021, berjaya dalam tuntutan mereka di Mahkamah Tinggi terhadap ketiga-tiga perayu.

Dalam membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi, Hakim Kamaludin berkata perkataan ‘bapa’ dalam Seksyen 1(b) dan 1(c) Jadual Kedua, Bahagian II Perlembagaan Persekutuan bermaksud bapa kandung dan tidak boleh ditafsirkan untuk memasukkan ibu atau ibu bapa.

Sebaliknya Mahkamah Tinggi dalam keputusannya untuk membenarkan kanak-kanak yang lahir di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing secara automatik berhak mendapat kerakyatan melalui peruntukan undang-undang di bawah Perkara 14 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan telah menyatakan bahawa perkataan ‘bapa’ dalam Seksyen 1(b) hendaklah merangkumi ibu.

Hakim Kamaludin bagaimanapun berkata perkataan ‘bapa’ dalam Perkara 14(1)(b) dan peruntukan berkaitan dengannya dalam Jadual Kedua adalah jelas dan tidak boleh ditafsirkan untuk memasukkan ‘ibu’.

“Hanya Parlimen yang boleh meminda Perlembagaan, bukan mahkamah, untuk meminda perlembagaan. Mahkamah tidak boleh sesuka hati mengubah Perlembagaan.

“Oleh itu, rayuan kerajaan dibenarkan tanpa perintah mengenai kos manakala keputusan Mahkamah Tinggi diketepikan,” katanya.

Sementara itu, Hakim Nantha yang memberikan penghakiman bertentangan berpendapat bahawa terdapat konflik yang jelas antara Perkara 8(2) dan Perkara 14(1)(b)  dan peruntukan yang berkaitan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menunjukkan bahawa kedudukan bapa mengatasi ibu. 

“Ini adalah satu penghinaan dan diskriminasi kepada ibu-ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing. Teori tafsiran perlembagaan mahkamah adalah untuk mencegah kerakyatan yang mengakibatkan diskriminasi, oleh itu (Perlembagaan Persekutuan) perlu dibaca secara harmoni untuk mencegah diskriminasi terhadap ibu-ibu Malaysia,” katanya.

Panel itu juga menjelaskan bahawa status quo harus dikekalkan untuk anak-anak kelahiran luar negara daripada enam ibu warganegara Malaysia yang telah memperoleh kertas kewarganegaraan Malaysia sementara menunggu rayuan mereka di Mahkamah Persekutuan.

Bagi ibu-ibu rakyat Malaysia yang lain yang bukan sebahagian daripada tuntutan mahkamah dan juga telah memohon agar anak-anak mereka yang dilahirkan di luar negara diberikan dokumen kewarganegaraan oleh JPN, panel itu berkata permohonan mereka harus dibekukan dan tidak boleh ditolak.

“Apa pun yang telah diputuskan, biarkan, jangan diubah. Apa sahaja yang belum selesai, biarkan sementara menunggu rayuan,” kata Hakim Nantha.

Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin yang mewakili ketiga-tiga perayu, menjawab: "Ya, faham".

Pada September lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir memerintahkan semua pihak berkuasa yang berkaitan mesti mengeluarkan dokumen berkaitan, seperti kad pengenalan, kepada kanak-kanak ini.

Dalam saman mereka, antara lain, ibu-ibu itu mahu perintah mahkamah supaya semua agensi kerajaan yang berkaitan, termasuk JPN, Jabatan Imigresen dan kedutaan Malaysia, mengeluarkan dokumen berkaitan kewarganegaraan (termasuk pasport dan kad pengenalan) kepada anak yang dilahirkan di luar negara kepada ibu warganegara Malaysia dengan pasangan warga asing.

Peguam Datuk Gurdial Singh Nijar mewakili enam wanita berkenaan dan Family Frontiers.

Semasa prosiding hari ini, panel yang sama, dalam keputusan majoriti 2-1, menolak rayuan oleh seorang wanita berusia 24 tahun, Mahisha Sulaiha Abdul Majeed, terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 19 Ogos 2020 yang menolak samannya yang difailkannya memohon pengisytiharan bahawa dia berhak menjadi warganegara Malaysia.

Menurut laporan, Mahisha Sulaiha beribukan warga Malaysia manakala bapanya warga India di India.

Sementara itu, Presiden Family Frontiers Suriani Kempe berkata mereka akan merayu terhadap keputusan itu di Mahkamah Persekutuan.

-- BERNAMA

 

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan