BERITA COVID–19   COVID: Kes baharu menurun sedikit ke 18,815, Sarawak kekal rekod kes tertinggi - KP Kesihatan | Perusahaan mikro dan tidak formal terjejas teruk akibat tiada simpanan, aliran tunai kukuh | Perusahaan mikro dan tidak formal terjejas teruk akibat tiada simpanan, aliran tunai kukuh | Putin jalani kuarantin kendiri, selepas kenalan dijangkiti COVID-19 | Laman web ‘Memorial COVID-19 Malaysia’ dibangunkan kenang mangsa terkorban  | 
JENAYAH & MAHKAMAH

Kastam rampas dadah lebih RM400,000 di KKIA

13/09/2021 09:37 PM

KOTA KINABALU, 13 Sept -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas lebih 8.66 kilogram (kg) dadah jenis ketamin dan methamphetamine bernilai RM404,375 hasil pemeriksaan imej imbasan di Kargo Udara, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini pada 29 Ogos lepas.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah Datuk Abdullah Jaapar dalam kenyataan hari ini berkata ekoran rampasan yang berlaku pada pukul 7 pagi itu, seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

“Anggota keselamatan dari MasKargo mendapati hasil imej imbasan yang mencurigakan ke atas 16 kotak polisterin berisi ikan sejuk beku. Imej imbasan itu menunjukkan terdapat satu imej lapisan di bawah ikan tersebut,” kata kenyataan itu.

Beliau berkata hasil pemeriksaan menemukan bungkusan plastik lut sinar berisi lebih 5.43kg dadah jenis ketamin dengan nilai RM287,843 dan lebih 3.23kg methamphetamine bernilai RM116,532.

Katanya modus operandi kegiatan itu adalah mengisi bahan disyaki dadah terlarang ke dalam plastik lut sinar sebelum disembunyikan ke dalam ruangan tersembunyi di dalam kotak polisterin ikan sejuk beku bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. JKDM menyeru orang awam agar bekerjasama melaporkan penyeludupan dadah dengan menghubungi talian 1-800-88-8855 atau pejabat kastam negeri dengan identiti pemberi maklumat dirahsiakan,” katanya.

-- BERNAMA


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan