BERITA COVID–19   COVID: PKPD dilaksana di Kanowit dan Selangau, Sarawak | PKP: Polis Petaling Jaya tambah dua lagi SJR | Kerajaan Kelantan larang gerai, penjaja tepi jalan beroperasi mulai esok | PKP: Sembilan sekatan jalan bermula hari ini | PKP: Sembilan sekatan jalan bermula hari ini | 
JENAYAH & MAHKAMAH

JPJ kutip bayaran kompaun RM3.147 juta

04/05/2021 10:30 PM

PUTRAJAYA, 4 Mei -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengutip bayaran kompaun sebanyak RM3.147 juta dalam tempoh dua minggu selepas tawaran diskaun 70 peratus dibuat sempena Sambutan Jubli Platinum JPJ, kata Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim.

Beliau berkata kutipan itu melibatkan 45,317 saman yang dikeluarkan di seluruh negara oleh jabatan itu.

"Ambil peluang ini untuk bayar saman kerana tawaran ini sehingga 11 Jun sahaja dan selepas tarikh itu, kami tidak akan melanjutkan lagi tempoh pengurangan kompaun," katanya kepada media sempena Program 75 Tahun JPJ Bersama Media, di sini hari ini.

Pada 12 April lepas, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mengumumkan diskaun 70 peratus selama dua bulan ditawarkan untuk semua saman JPJ bermula 13 April sehingga 11 Jun, bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-75 JPJ.

Zailani berkata tawaran 70 peratus kompaun itu diberikan kepada semua notis saman yang dikeluarkan bagi kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Akta 334), Akta Pengangkutan Awam Darat (Akta 715), serta Kaedah-Kaedah dan Perintah- Perintah di bawahnya, termasuklah kes yang masih dalam tindakan senarai hitam.

Pada program sama, Zailani turut menyerahkan dokumen pengecualian bayaran Lesen Kenderaan Motor (LKM) kepada wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Sukarelawan Amal Team bagi kenderaan pengurusan jenazah dimiliki pertubuhan itu.

Zailani berkata pengecualian pembayaran LKM itu sememangnya diberikan kepada NGO yang mempunyai kenderaan untuk kegunaan kebajikan atau keagamaan termasuk pengurusan jenazah.

Ada tiga kategori pengecualian ditawarkan iaitu 100 peratus untuk kenderaan mayat atau van; 70 peratus untuk kenderaan dimiliki persatuan atau yayasan anak yatim, rumah perlindungan warga emas manakala pengecualian 50 peratus untuk kenderaan milik institusi keagamaan dan persatuan (selain van jenazah atau kenderaan mayat).

Zailani juga menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Badan Khairat Kematian JPJ (Baqa) dan Sukarelawan Amal Team yang bertujuan untuk NGO itu membantu Baqa dalam pengurusan jenazah ahlinya.

-- BERNAMA

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan