BERITA COVID–19   PKPD Bunut Susu: Ujian saringan pertama selesai, 235 individu positif | P. Pinang mohon kerajaan persekutuan segera lulus ujian RT-PCR pekerja kilang | Wanita B40 raih pendapatan mampan di sebalik penularan pandemik | Polis siasat dakwaan KP Pendidikan Tinggi langgar SOP PKP | Penafian berita palsu tular 15 Mei - KKMM | 
JENAYAH & MAHKAMAH

Mustahil Najib tidak tahu baki akaun banknya - TPR

21/04/2021 10:01 PM

PUTRAJAYA, 21 April  -- Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram berkata adalah mustahil Datuk Seri Najib Tun Razak secara peribadi tidak mengetahui baki dalam akaun banknya selama lima tahun kerana Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd Nik Faisal Ariff Kamil telah ditugaskan untuk menguruskan akaun beliau. 

Beliau berkata dengan aliran wang masuk dalam jumlah yang begitu banyak ke dalam akaun bank terbabit, bekas perdana menteri itu sekurang-kurangnya harus menyoal sumber dan kesahihan dana itu. 

"Adalah mustahil beliau boleh buat-buat tak nampak apabila berjuta-juta ringgit didepositkan ke dalam akaun banknya hanya kerana pengurusan akaun bank beliau telah diserahkan kepada Nik Faisal dan bahawa selama lima tahun beliau tidak tahu secara peribadi mengenai baki dalam akaun banknya," katanya. 

Sithambaram berkata demikian di hadapan panel tiga hakim diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil semasa pendengaran rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd.

Turut bersidang Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Sithambaram berkata Najib juga kononnya terpaksa bergantung kepada Allahyarham Datuk Azlin Alias (Ketua Setiausaha Sulit beliau) untuk mengetahui sama ada beliau boleh mengeluarkan cek. 

"Perayu secara jelas enggan mengakui bahawa beliau mengetahui baki dalam akaun banknya kerana perkara itu akan mengaitkan pengetahuan beliau mengenai deposit RM42 juta ke dalam akaun bank peribadinya. 

"Perayu tidak pernah memberi keterangan sama ada beliau ada bertanya kepada Datuk Azlin, Nik Faisal atau Jho Low mengenai sumber dana di dalam akaun terbabit yang telah dibelanjakannya dengan senang hati tanpa sebarang persoalan," katanya. 

Beliau berkata Najib telah mengeluarkan 15 cek peribadi berjumlah RM10.7 juta dan turut berbelanja sebanyak RM466,330 di Honolulu, Hawaii melalui kad kreditnya untuk membeli seutas jam tangan jenama Chanel sebagai hadiah hari jadi isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Katanya, perlakuan ini jelas menunjukkan bahawa Najib telah menggunakan dana yang diterima daripada SRC secara penuh berdasarkan bukti yang terdapat dalam jejak wang itu dan dijelaskan dalam pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT).

"Cara perayu berbelanja membuktikan bahawa beliau mempunyai pengetahuan mengenai RM42 juta daripada SRC yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya," katanya.

Pada 28 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan CBT, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan melibatkan RM42 juta dana SRC International. 

Pendengaran rayuan kes itu bersambung esok.

-- BERNAMA  
 

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan