BERITA COVID–19   MOSTI diminta tangguh umum maklumat yang diperoleh daripada HIDE | PKP beri impak bekalan darah di Sabah | Situasi COVID-19 di Besut membimbangkan, penduduk dinasihat had pergerakan, patuh SOP | Varian baharu COVID-19 bawa gejala lebih teruk - KP Kesihatan | COVID-19: Ketua Pemuda PAS Selangor tidak kritikal - DPPNS | 
JENAYAH & MAHKAMAH

Polis tahan tujuh bekas banduan geng pecah rumah

19/04/2021 05:54 PM

KEPALA BATAS, 19 April -- Polis menahan tujuh bekas banduan kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah rumah dan tapak pembinaan, dalam dua serbuan pada Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata kesemua tujuh lelaki itu ditahan di dua buah rumah di Kampung Perlis, Butterworth dan di Kampung Baru, Mak Mandin, hasil maklumat serta risikan pihaknya sejak seminggu lepas.

"Dalam serbuan pertama (di Kampung Perlis) polis menahan lima lelaki berusia 21 hingga 49 tahun di rumah yang dijadikan tempat mereka menghisap dan menjual dadah manakala dalam serbuan kedua kami menahan dua lagi rakan mereka berusia 26 dan 27 tahun yang berperanan menjalankan kegiatan pecah rumah serta tapak pembinaan.

"Siasatan mendapati lima lelaki dalam serbuan pertama termasuk ketua geng itu yang berusia 33 tahun akan membeli semua hasil curi sebelum menjual semula kepada pembeli dengan harga lebih murah, namun dua suspek yang menjual barangan curi berkenaan mendapat bekalan dadah dan bukan duit," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Modus operandi geng itu, katanya ialah memecah masuk rumah atau tapak pembinaan pada waktu malam atau awal pagi sebelum mencuri barangan berharga terutama mesin dan peralatan pembinaan kerana ia mahal serta mendapat permintaan yang tinggi.

Noorzainy berkata polis turut merampas lebih 30 unit mesin pembinaan pelbagai jenis bernilai kira-kira RM20,000 dan tujuh ekor burung antaranya burung kakak tua jenis Black Capper Lory serta Timneh African yang dianggarkan bernilai RM2,000 seekor.

Beliau berkata siasatan mendapati kumpulan itu terlibat dengan kegiatan berkenaan sejak dua bulan lepas kerana masing-masing baru sahaja dibebaskan dari penjara dan polis percaya penahanan mereka dapat menyelesaikan 10 kes membabitkan kerugian ratusan ribu ringgit.

"Ketua geng itu mempunyai 22 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah manakala anak-anak buahnya turut mempunyai rekod lampau iaitu antara dua hingga 16 kes. Semua mereka juga dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah serta ujian air kencing juga positif dadah," katanya.

Beliau berkata dalam serbuan itu polis turut merampas sejumlah heroin serta syabu daripada ketua geng itu yang dipercayai untuk dijual.

Kesemua suspek direman hingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan