BERITA COVID–19   MOSTI diminta tangguh umum maklumat yang diperoleh daripada HIDE | PKP beri impak bekalan darah di Sabah | Situasi COVID-19 di Besut membimbangkan, penduduk dinasihat had pergerakan, patuh SOP | Varian baharu COVID-19 bawa gejala lebih teruk - KP Kesihatan | COVID-19: Ketua Pemuda PAS Selangor tidak kritikal - DPPNS | 
JENAYAH & MAHKAMAH

Tiga beranak cedera kereta rempuh gerai tepi jalan

19/04/2021 05:08 PM

MELAKA, 19 April -- Seorang ibu bersama dua anaknya cedera, selepas gerai jualan mereka di tepi Jalan Limbongan dirempuh pemandu kereta dalam satu kejadian di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Afzanizar Ahmad berkata, dalam kejadian pukul 5.21 petang itu mangsa Norazizah Jenal, 57, dan anaknya Nurul Ayu Umairah Samsudin, 15, serta Muhammad Aliff Hazimie, 13, sedang berniaga kuih dan air tebu di gerai berkenaan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Nissan Sentra dipandu lelaki berumur 47 tahun itu dari arah bandar menghala ke Klebang, telah hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar gerai wanita itu.

“Kejadian itu menyebabkan wanita itu dan anak lelakinya mengalami kecederaan di bahagian kaki, manakala anak perempuannya cedera di bahu kanan, perut dan kaki kiri.

“Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut, dan kemalangan itu turut menyebabkan motosikal milik mangsa rosak,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut Afzanizar berkata, pemandu kereta itu tidak mengalami sebarang kecederaan namun keputusan ujian saringan air kencingnya mendapati, lelaki yang bekerja sebagai juruteknik itu positif methamphetamine dan heroin, selain tidak memiliki lesen memandu.

“Siasatan lanjut juga mendapati lelaki itu juga mempunyai rekod lampau membabitkan kes dadah, dan permohonan reman terhadapnya akan dibuat di Mahkamah Majistret Ayer Keroh,” katanya.

Katanya kes itu disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, Seksyen 45A APJ 1987 dan Sek 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

-- BERNAMA

 

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan