BERITA COVID–19   SIC diarah tangguh semua kejohanan drag | Kluster Jalan Canning Estate: Bazar Ramadan Stadium Perak dikawal ketat | COVID: 607 kes positif baharu, angka tertinggi direkod di Sarawak | Empat lokaliti di tiga daerah di Sabah, empat kampung di Pahang dikenakan PKPD esok | WHO terbit garis panduan sempena perayaan keagamaan | 
JENAYAH & MAHKAMAH

Empat sekeluarga maut Perodua Myvi bertembung treler di Bentong

29/03/2021 12:35 PM

KUANTAN, 29 Mac -- Empat sekeluarga termasuk dua kanak-kanak maut selepas kereta Perodua Myvi dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler membawa muatan kereta di Kilometer 4, Jalan Bentong-Raub, di Bentong kira-kira 195 kilometer dari sini, awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Supt Kamarulzaman Jusoh dalam kejadian pada 4.10 pagi itu, mangsa yang maut di tempat kejadian ialah pemandu kereta Marlianna Abdul Muid, 37, dan adiknya Marlia, 36, akibat tersepit dan mengalami kecederaan parah di kepala.

Sementara dua mangsa kanak-kanak dikenali sebagai Muhammad Aisy Harraz Aziz, tujuh tahun dan anak Marlia, Muhammad Faizz Aryan Mohd Faizuddin, sembilan tahun berada di bahagian penumpang belakang kereta itu, disahkan meninggal dunia di Hospital Bentong, kira-kira 6.30 pagi tadi, katanya.

Kesemua mangsa beralamat di Banting, Selangor.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Marlianna dari arah Kota Bharu, Kelantan ke Selangor cuba memotong kenderaan di hadapannya, namun tidak berjaya sebelum bertembung dengan treler dari arah bertentangan. 

"Pertembungan itu mengakibatkan pemandu dan penumpang hadapan tersepit dan kereta mangsa remuk pada bahagian hadapan menyebabkan bantuan bomba diperlukan bagi mengeluarkan mangsa," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kamarulzaman berkata pemandu treler yang berusia 42 tahun, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun bahagian hadapan trelernya itu turut rosak.

Kesemua mayat mangsa dibawa ke Hospital Bentong untuk bedah siasat dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

-- BERNAMA

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan