PELAN JANA SEMULA EKONOMI NEGARA (PENJANA)

PEMERKASA Plus sedia jaringan keselamatan untuk kesejahteraan rakyat

02/06/2021 04:37 PM

KUALA LUMPUR, 3 Jun -- Pakej ransangan PEMERKASA Plus merupakan langkah holistik yang menyediakan jaringan keselamatan untuk kesejahteraan rakyat berikutan sekatan menyeluruh bagi membendung kenaikan jangkitan COVID-19. 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Research Datuk Dr Rais Hussin berkata bantuan itu, yang memberi tumpuan kepada tiga matlamat utama, direka ke arah pakej yang holistik - "bertahan untuk memulakan semula", bertujuan meminimumkan impak Perintah Kawalan Pergerakan sepenuhnya kepada rakyat.

"Tiga objektif utama berkenaan adalah merancakkan kapasiti kesihatan awam, memastikan kesejahteraan rakyat, selain menyokong kesinambungan perniagaan. Strategi untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang merupakan enjin pertumbuhan kepada negara, adalah cara yang sebetulnya," katanya kepada program "Mid-Day Update" Bernama TV hari ini. 

Beliau ketika mengulas mengenai kebimbangan terhadap kesan 'sekatan' ke atas perniagaan terutama PKS berkata keputusan kerajaan adalah tidak popular tetapi perlu bagi memutuskan rantaian jangkitan, selain membolehkan sistem kesihatan kembali pulih.

Memandangkan angka jangkitan yang berada di luar kawalan, sekatan penuh ini, ditambah pula dengan jaringan keselamatan (PEMERKASA Plus), akan membuktikan bahawa dalam jangka masa panjang, ianya merupakan keputusan yang tepat, katanya lagi.

"Pada pendapat saya, jika saya pemilik perniagaan, saya akan mengambil langkah yang betul untuk memotong rantaian. Pada masa sama, program vaksinasi perlu berjalan pantas dan akhirnya, kita akan bersedia untuk menyambung perniagaan," katanya.

PEMERKASA Plus yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin lepas adalah bernilai RM40 bilion, antara lain memperuntukkan RM1 bilion untuk mengembangkan kapasiti kesihatan awam, RM33 bilion bagi meneruskan agenda Prihatin Rakyat dan tambahan RM6 bilion untuk menyokong kesinambungan perniagaan. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan