PELAN JANA SEMULA EKONOMI NEGARA (PENJANA)

Sektor pembuatan, pertanian penyumbang utama pertumbuhan ekonomi semasa tempoh pandemik

02/12/2020 11:47 AM

KUALA LUMPUR, 2 Dis  -- Sektor pembuatan dan pertanian merupakan antara penyumbang utama dalam membantu pertumbuhan ekonomi negara semasa tempoh pandemik COVID-19, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Arthur Joseph Kurup.

Beliau berkata ia berdasarkan beberapa indikator terkini yang telah mula menunjukkan prestasi ekonomi lebih baik.

“Antaranya prestasi indeks pengeluaran sektor pembuatan meningkat sebanyak 2.1 peratus pada September 2020 berbanding dengan penguncupan 2.1 peratus pada Ogos 2020 selain nilai jualan sektor pembuatan juga telah mencatatkan peningkatan sebanyak 3.7 peratus pada September kepada RM121.2 bilion,” katanya di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) mengenai kedudukan sektor ekonomi berdasarkan ranking yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara serta sektor yang banyak membantu pertumbuhan ekonomi semasa COVID-19.

Harga minyak sawit mentah pula telah kembali mencecah paras melebihi RM3,000 per tan pada November 2020, iaitu RM3,422 per tan berbanding paras terendah sebanyak RM2,074 per tan pada Mei 2020, katanya.

Arthur berkata selain itu harga getah SMR20 meningkat kepada paras tertinggi iaitu RM6.33 sekilogram pada November 2020 berbanding RM4.73 sekilogram iaitu paras harga terendah, pada April 2020.

Bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 2019, sektor perkhidmatan menjadi penyumbang terbesar kepada kadar itu iaitu sebanyak 57.7 peratus, katanya.

Beliau berkata kedudukan itu diikuti sektor pembuatan yang menyumbang sebanyak 22.3 peratus, sektor pertanian serta perlombongan dan pengkuarian yang masing-masing menyumbang sebanyak 7.1 peratus.

“Sektor kelima ialah sektor pembinaan yang menyumbang sebanyak 4.7 peratus kepada KDNK dalam tempoh yang sama,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan