PELAN JANA SEMULA EKONOMI NEGARA (PENJANA)

Taklimat JENDELA beri ruang ahli Parlimen utara pandangan

19/11/2020 03:30 PM

KUALA LUMPUR, 18 Nov -- Ahli-ahli Parlimen hari ini diberikan taklimat dan ruang mengutarakan pendapat masing-masing mengenai Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA). 

Taklimat hampir sejam berkenaan disampaikan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Dr Fahdlullah Suhaimi Abdul Malek sebelum majlis dibuka untuk soal jawab. Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah. 

Ini merupakan sesi taklimat pertama seumpamanya berkenaan JENDELA diadakan melibatkan semua ahli Parlimen. 

Antara lain, Ahli Parlimen Kimanis Datuk Mohamad Alamin dalam sesi soal jawab mahu supaya masalah capaian asas Internet diutamakan berbanding memberi penekanan kepada kelajuan. 

"Di kawasan saya bukannya begitu jauh dari Kota Kinabalu, hanya 40 minit, tetapi ada tempat yang liputan telefon pun tidak ada. Jadi saya minta supaya dalam cadangan kerajaan membina 425 menara pencawang baharu, satunya dibina di kawasan itu," katanya. 

Turut senada, Ahli Parlimen Pendang Awang Hashim yang mengakui kawasannya sendiri bukan sahaja ada masalah capaian Internet tetapi juga liputan isyarat telefon. 

"Rumah saya sendiri cuma dapat satu bar (isyarat liputan) sahaja," katanya. 

Menjawab mengenai isu itu, Fahdlullah berkata perkara tersebut sememangnya ada dalam rencana JENDELA. 

Katanya selain menambah baik kelajuan capaian Internet 4G lebih meluas, liputan Internet turut akan ditambah baik seluruh negara.

Projek di bawah Rancangan Malaysia ke-12 berkenaan yang dijangka menelan belanja RM21 bilion diumum Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 29 Ogos lepas.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan