Selasa, 24 November 2020
Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA)
14/10/2020 05:10 PM

KUALA LUMPUR, 14 Okt  -- Ketidaktentuan pasaran kewangan dijangka meningkat dalam tempoh terdekat berikutan lonjakan semula jangkitan COVID-19 di beberapa negara, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

BNM berkata ia akan menyebabkan sentimen pelabur berhati-hati terhadap pendapatan korporat yang lebih rendah daripada jangkaan dan peningkatan dalam ketegangan perdagangan.

"Setakat akhir bulan Ogos 2020, aliran keluar bagi bukan pemastautin di pasaran ekuiti domestik berterusan, ia berjumlah RM20.3 bilion (US$1 = RM4.15) kerana kebimbangan pelabur yang semakin meningkat mengenai  kesan ekonomi akibat pandemik COVID-19," kata BNM dalam Tinjauan Kestabilan Kewangan - Separuh Pertama 2020 yang dikeluarkan, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, kesan terhadap harga ekuiti diimbangi oleh penyertaan pelabur runcit domestik yang lebih tinggi dalam pasaran ekuiti dan kenaikan kukuh dalam saham penjagaan kesihatan dan teknologi.

Menurut BNM, pelabur runcit mendorong nilai dan jumlah dagangan di bursa tempatan, mengatasi pelabur institusi domestik, walaupun aktiviti pengambilan untung baru-baru ini sejak Ogos menyebabkan beberapa pembetulan harga.

Walaupun ketidaktentuan pasaran telah berkurangan daripada tempoh puncaknya pada Mac lepas, ia tetap berada di atas tahap yang diperhatikan sebelum krisis disebabkan COVID-19 kerana pasaran tetap sensitif terhadap berita berkaitan COVID-19, peningkatan ketegangan perdagangan dan perkembangan politik domestik.

Bagi pasaran bon domestik, ia mengalami lonjakan sementara dalam hasil bon dengan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) selama 10 tahun dan hasil bon korporat AAA selama 10 tahun, masing-masing meningkat 84 mata asas (bps) dan 59 bps, dalam persekitan aliran keluar bukan pemastautin yang ketara (RM22.4 bilion atau US$5.2 bilion) antara Februari dan April.

Aliran keluar bukan pemastautin secara kumulatif yang tinggi dicatatkan pada bulan April 2020, sejak itu berubah untuk merekodkan aliran masuk bersih sebanyak RM4.3 bilion hingga akhir Ogos 2020, di tengah-tengah peningkatan secara beransur-ansur dalam sentimen pelabur global dan asas berterusan pelabur bukan pemastautin seperti kerajaan dan pusat bank di pasaran bon domestik.

BNM berkata permintaan berterusan oleh pelabur domestik untuk bon kerajaan Malaysia disokong oleh langkah bank untuk meringankan keadaan mudah tunai, ia diterjemahkan dalam nisbah bida-kepada-lindungan dengan purata 2.4 kali dalam tujuh bulan pertama tahun 2020.

Bagaimanapun, lelongan untuk bon jangka panjang sejak bulan Ogos menyaksikan permintaan yang sedikit merosot dalam persekitaran kembimbangan terhadap penawaran yang berlebihan selepas pembentangan Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) 2020.

Dalam kalangan pelabur bukan pemastautin, permintaan untuk bon kerajaan Malaysia mulai pulih sejak Mei, disokong oleh sentimen pasaran yang meningkat dan hasil positif bertambah berbanding Perbendaharaan Amerika Syarikat.

"Seperti pada tempoh tekanan pasaran sebelumnya, permintaan yang berterusan daripada pelabur institusi domestik, seperti bank, institusi kewangan bukan bank, dan penanggung insurans dan pengendali takaful terus memainkan peranan penting dalam menjaga keadaan yang teratur serta memberikan akses terus ke pasaran kredit sepanjang separuh pertama 2020.

"Pasaran bon mudah tunai Malaysia dengan sokongan dari pangkalan pelabur yang pelbagai ini, juga akan memberikan sokongan berterusan kepada keadaan pasaran yang teratur," kata BNM.

-- BERNAMA

 

MENARIK

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan